Wednesday 23 November 2016

Jom Baca Surah Al Kahfi 6

Assalamualaikum wbt!


Apa khabar semuanya? Kesihatan Admin merudum sejak beberapa minggu yang lepas

Untuk ni kita sambung ayat ke 6. Ayuh

Ayat 6
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ


Arab :
فَلَعَلَّكَ بَاخِعٌ نَفْسَكَ عَلَىٰ آثَارِهِمْ إِنْ لَمْ يُؤْمِنُوا بِهَٰذَا الْحَدِيثِ أَسَفًا
Rumi :
fa-laʿallaka bākhiʿun nafsaka ʿalā ʾāthārihim ʾil lam yuʾminū bi-hādhā l-ḥadīthi ʾasafa
Terjemahan :
Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.

Barangkali kamu akan membinasakan diri kamu Muhammad; 
Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad atau kepada sesiapa yang menyampaikan tauhid ini. Kalau dulu semasa diturunkan, ayat ini ditujukan kepada Nabi. Iaitu Nabi amat bersedih dengan kaumnya yang tidak mahu menerima ajakan tauhid dari baginda.
Perkataan بَاخِعٌ bermaksud mengganggu emosi seseorang yang sampai kepada tahap boleh membunuh. Macam kalau kita memaki seorang yang sakit jantung, sampai dia mati. Ianya adalah ‘membunuh tanpa menggunakan senjata’. Nabi Muhammad atas kesedihannya, teruk sangat sampai boleh membawa kepada kematian.
Mufassir ada mengatakan bahawa Nabi sedih sangat kerana dia telah ditunjukkan dengan kesan-kesan buruk yang disebabkan oleh agama Kristian itu. Dalam ayat sebelum ini, memperkatakan tentang ajaran sesat Kristian yang mengatakan tentang mereka mengambil Nabi Isa sebagai anak Tuhan. Jadi, ayat itu adalah tentang agama Kristian. Dalam ayat ini, ada digunakan فَ dalam perkataan فَلَعَلَّكَ itu. Ini bermaksud, ayat ini adalah sambungan dari ayat sebelumnya.
Atas kesan-kesan mereka; 
tidak mahu beriman. Ini adalah kerana Nabi hairan kenapa mereka tidak juga mahu beriman. Setelah dibawakan dalil-dalil bukti, mereka masih tidak mahu beriman.
Apakah kesan dari Kristian itu? Kita kena lihat sejarah untuk memahami apakah yang dimaksudkan oleh ayat ini. Pada Zaman Kegelapan Barat, yang memegang tampuk pemerintahan adalah golongan gereja. Mereka mengusai masyarakat Kristian yang tidak berilmu. Masyarakat menganggap golongan gereja inilah yang dapat menyelamatkan mereka. Tapi dalam masa yang sama, ada juga anak-anak muda yang telah pergi belajar ke negara-negara Islam seperti Andalusia dan sebagainya. Waktu itu, Islam telah maju dalam bidang sains.
Apabila mereka yang telah belajar di negara Islam itu pulang, mereka telah membawa kemodenan bersama mereka. Kemajuan itu telah menggugat kedudukan golongan gereja yang selama ini boleh memperbodohkan masyarakat waktu itu. Jadi, golongan gereja melihat golongan terpelajar ini sebagai satu perkara yang perlu disesarkan. Maka, mereka telah menggunakan kuasa mereka yang ada untuk menjatuhkan golongan terpelajar itu. Mereka telah membunuh mereka, membakar perpustakaan, buku-buku mereka dan sebagainya. Mereka telah mencipta alat-alat seksaan untuk menyeksa orang-orang sains. Mereka kata mereka buat itu adalah untuk menyelamatkan roh mereka supaya mereka selamat di akhirat kelak.
Golongan terpelajar itu telah melawan balik. Akhirnya mereka telah berjaya mendapat kuasa. Inilah yang dinamakan Zaman Renaissance. Apabila mereka telah berkuasa, mereka telah menundukkan kuasa agama. Kerana mereka telah lihat bagaimana bahayanya orang agama kalau mereka berkuasa. Mereka tidak memusnahkannya terus. Cuma mereka merendahkan kedudukannya untuk kegunaan peribadi sahaja. Dalam hal-hal peribadi, boleh pakai agama, tapi dalam hal lain, kena pakai intelek manusia. Inilah konsep sekular. Inilah permulaan konsep sekular diperkenalkan dalam dunia.
Hasilnya, masyarakat semakin jauh dari agama. Tiada lagi kebergantungan kepada Tuhan. Mereka memandang bahawa dalam hal kehidupan, mereka hanya gunakan intelek sahaja. Agama sudah tidak ada lagi kesan dalam kehidupan. Hanya digunakan dalam hal-hal tertentu sahaja.
Model ini telah dibawa kepada negara-negara yang mereka jajah. Mereka juga telah menjajah kita dahulu. Konsep ini telah diterapkan dalam masyarakat kita. Oleh kerana itu, hal-hal agama hanya dalam perkara tertentu sahaja, seperti nikah kahwin, kematian, khitan dan sebagainya. Tapi hal undang-undang, pemerintahan dan hal-hal yang penting, bukan diambil dari agama lagi.
Itulah yang Nabi sedih sangat. Kerana baginda telah ditunjukkan kesan kerosakan yang dibawa oleh golongan Kristian itu. Asalnya agama mereka telah sesat. Mereka merosakkan lagi keadaan dengan menentang kemajuan sains yang dibawa oleh golongan terpelajar itu. Itu adalah kerana agama Kristian menolak kemajuan kerana ianya memang agama yang sesat. Kemajuan tidak boleh duduk bersama dengan agama Kristian. Lain dengan agama Islam. Islam tidak ada masalah dengan logik akal dan kemajuan sains. Tapi kerana kesan kesesatan ahli agama Kristian itu, semua agama telah terpalit dengan kebodohan mereka itu.
Produk yang mereka keluarkan adalah materialism. Mereka hanya memandang hal luaran sahaja. Mereka tidak mementingkan Tuhan lagi. Mereka hanya mahukan keseronokan dan bagaimana hendak memberi nikmat kepada badan sahaja. Tidak kepada batin lagi. Manusia sudah tidak melihat kepada kehidupan selepas mati, tapi hanya mementingkan kehidupan keduniaan sahaja. Nafsu tubuh badan dipuaskan semaksima mungkin. Kesan ini telah menyerap masuk ke dalam masyarakat Islam sendiri.
Tidak mahu beriman kepada Quran ini.
Perkataan الْحَدِيثِ merujuk kepada Quran. Dari segi bahasa, ianya adalah bermaksud ucapan. Quran dirujuk juga sebegini kerana ia disampaikan dari orang ke orang yang lain dengan cara ucapan. Iaitu dibacakan kepada mereka. Quran akan tetap teguh dengan cara begini. Quran perlu dihidupkan dengan manusia bercakap tentang ayat-ayat Quran. Nabi takut manusia sudah tidak bercakap tentang Quran lagi. Itulah sebabnya baginda takut dan sedih.
Kerana sedih; 
Nabi rasa macam nak membinasakan diri baginda kerana baginda sedih sangat. Tidaklah Nabi membinasakan diri baginda. Tidak berlaku pun begitu. Nabi kehairanan kenapalah mereka tidak mahu beriman? Macam kita sekarang hairan kenapa banyak manusia yang bertawasul ini? Padahal tidak ada dalil pun perbuatan mereka itu. Apa mereka buat itu dah seperti orang kafir, macam Kristian, Hindu dan penganut Buddha dah. Tapi kerana mereka tidak belajar, mereka tidak nampak kesalahan yang mereka buat itu. Mereka hanya mengikut sahaja ajaran guru-guru mereka tanpa usul periksa.
Perkataan أَسَفًا bermaksud satu jenis kesedihan yang kita alami dan kita tahu kita tidak berbuat apa-apa tentangnya. Nabi sedih kerana apabila perkara itu terjadi, dia tidak ada lagi dalam dunia untuk melakukan apa-apa. Yang ada ditinggalkan adalah Quran sahaja. Jadi, hendaklah kita jadikan Quran itu sebagai pedoman kita untuk mengelakkan kita dari terjerumus ke dalam lembah materialism itu.
the one who kills: بَاخِعٌ
their footsteps: آثَارِهِمْ
narrations: الْحَدِيثِ
grief: أَسَفًا 

No comments:

Post a Comment