kita teruskan lagi dengan perkongsian surah Al Kahfi kita ye..
Ayat 10
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
Arab :
إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا رَبَّنَا آتِنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
Rumi :
ʾidh ʾawā l-fityatu ʾilā l-kahfi fa-qālū rabbanā ʾātinā min ladunka raḥmatan wa-hayyiʾ lanā min ʾamrinā rashada
Terjemahan :
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”.
إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ
Ketika pemuda-pemuda itu lari ke gua yang besar;
Mereka diberi peluang oleh Raja kerana mereka itu semua adalah anak pembesar. Mereka diberi peluang untuk mengubah agama mereka. Tidak terus dibunuh. Mereka telah diberi masa. Dan mereka dibenarkan pulang tapi mereka kena datang datang balik. Dan nama mereka telah ditulis. Itulah yang dikatakan وَالرَّقِيمِ itu – dituliskan nama mereka. Macam nama penjenayah yang akan ditampal di poster. Kerana mereka diberi masa itulah sebabnya mereka sempat lari.
Perkataan أَوَى bermakna mencari perlindungan. Macam kalau kita ketakutan semasa kita kecil, kita akan lari ke arah ibu kita dan memeluknya.
Makna الْفِتْيَةُ ialah ‘pemuda’. Itulah sebabnya mereka dinamakan ‘Pemuda Kahfi’. Dalam ayat 7 sebelum ini, telah disebutkan bagaimana Allah telah mencantikkan dunia ini kepada manusia. Dan orang-orang yang mementing materialisma, mereka hanya memandang dunia sahaja. Siapakah yang paling terkesan dengan dunia dan segala keindahannya? Tentulah orang-orang muda. Mereka inilah yang sedang banyak tenaga, rupa masih elok lagi, tanggungjawab kurang dan sedang meningkat naik dalam kehidupan. Merekalah yang banyak terjerumus dalam kehidupan maksiat, tanpa agama dan hanya suka berhibur sahaja. Tapi dalam ayat ini, Allah memberitahu kita bahawa ada pemuda-pemuda yang iman mereka kuat, jalan agama mereka lurus. Mereka telah mengambil keputusan untuk menyelamatkan agama mereka dan mereka lari menujuk kepada gua untuk menyembunyikan diri. Mereka itu anak pembesar-pembesar negara. Kalau mereka mahukan kemewahan dan nikmat dunia, mereka memang boleh dapat. Tapi iman mereka telah mendorong mereka untuk mengasingkan diri mereka dari orang-orang yang telah rosak akhlak dan agama mereka.
رَبَّنَا آتِنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً
Mereka berdoa: “wahai Tuhan yang mencipta, mentadbir dan memelihara kami, berilah kepada kami dari sisi Kamu, rahmat yang khas”.
Allah mengingatkan kepada kita bahawa pertolongan hanya datang dari Allah. Kalau ada apa-apa masalah, pohonlah kepada Allah.
وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
Dan sediakanlah kepada kami dalam urusan hidup kami ini, suatu petunjuk;
mereka meminta petunjuk dari Allah kerana mereka berada dalam masyarakat yang mengamalkan syirik. Mereka bermohon semoga kesudahan akhir mereka adalah di bawah petunjuk yang lurus. Maka kita hendaklah memberitahu masyarakat bahawa tawasul itu adalah perbuatan syirik. Sekarang dah banyak sangat dah yang mengamalkan tawasul ini. Mulanya mereka tahu bahawa mereka menggunakan Nabi, wali atau malaikat itu sebagai perantara sahaja. Kita takut, lama kelamaan, mereka akan terus berdoa kepada entiti itu sendiri. Kita takut macam orang Syiah sekarang. Mereka bukan minta kat Allah dah, tapi mereka terus minta kepada Huseein dah. Kalau mereka ada masalah, mereka berdoa kepada Hussein terus. Semoga masyarakat kita tidak jadi macam itu. Semoga kita boleh terangkan kepada manusia bahayanya tawasul itu sebelum terlambat.
Mereka memerlukan petunjuk dalam kehidupan dunia ini. Itu adalah petunjuk agama. Tapi dalam masa yang sama juga, mereka memerlukan petunjuk bagaimana untuk menyelamatkan diri. Allah telah memberi jalan kepada mereka untuk memilih satu gua yang sesuai untuk mereka menghilangkan diri.
Itu adalah cerita ringkas berkenaan pemuda gua itu. Ada enam orang pemuda semuanya. Mereka tahu bahawa kalau mereka tinggal lagi bersama kaum mereka yang mengamalkan syirik itu, mereka akan dibunuh. Semasa mereka dalam perjalanan hendak lari, mereka telah berjumpa dengan seorang pengembala kambing. Pengembala itu ada seekor anjing. Mereka telah ajar tentang tauhid kepada pengembala itu dan pengembala itu beriman dan akhirnya telah mengikut mereka. Maka, sekarang sudah ada tujuh orang dan seekor anjing.
No comments:
Post a Comment